JAKARTA – Beratus-ratus rakyat Indonesia turun ke jalan-jalan di Jakarta semalam kerana membantah pengumuman elaun baharu dan kenaikan elaun bulanan ahli Parlimen di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi dan langkah penjimatan pemerintah, lapor saluran berita Channel News Asia.
Elaun perumahan bulanan baharu sebanyak 50 juta rupiah (RM13,000) untuk ahli Parlimen itu adalah hampir 10 kali ganda gaji minimum di Jakarta yang merupakan ibu negara dan bandar terbesar Indonesia.
Selasa minggu lalu iaitu hanya beberapa hari selepas Presiden Prabowo Subianto menjanjikan langkah penjimatan ketat dan perbelanjaan kerajaan yang lebih cekap, pengumuman elaun perumahan itu dianggap ‘tidak sensitif’ oleh pakar-pakar ekonomi dan rata-rata, rakyat Indonesia.
Selepas beberapa hari meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial, ratusan warga Indonesia terdiri daripada kumpulan pelajar dan pertubuhan lain mengadakan protes di luar bangunan Parlimen di Jakarta.
Penunjuk perasaan turut menuntut pemansuhan beberapa undang-undang seperti perluasan peranan tentera dalam tadbir urus kerajaan.
Mereka cuba melanggar penghadang logam dan konkrit, menyebabkan pihak berkuasa bertindak balas membedil gas pemedih mata dan meriam air.
Beberapa peserta berkata, mereka menyertai protes kerana kecewa terhadap ahli Parlimen yang jelas tidak menghiraukan perjuangan rakyat biasa.
“Ini benar-benar mengecewakan. Ramai rakyat masih bergelut dengan pendapatan kurang daripada 50,000 rupiah (RM13) sehari. Mereka harus melihat bahawa keadaan masyarakat Indonesia sekarang amat teruk,” kata seorang pelajar universiti, Ivan.
Seorang lagi penunjuk perasaan, Zico, berkata: “Daripada menaikkan elaun ( ahli Parlimen), wang itu lebih baik digunakan untuk menaikkan gaji guru supaya mereka boleh hidup dengan baik atau mewujudkan pekerjaan.”
Gaji guru di Indonesia adalah antara 1.2 juta rupiah (RM310) hingga 7 juta rupiah (RM1,800) sebulan. – AGENSI