LONDON – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim enggan menyalahkan Bruno Fernandes yang berada dalam tekanan selepas gagal membantu pasukan menang apabila seri 1-1 bertemu Fulham di Stadium Craven Cottage kelmarin.
Pada perlawanan itu, Fernandes gagal menyempurnakan sepakan penalti buat kali pertama dalam tempoh dua tahun selain menjadi punca gol penyamaan Fulham yang diledak Emile Smith Rowe.
Kata Amorim, Fernandes tidak berada dalam prestasi terbaik kerana memikul tanggungjawab yang besar untuk membantu pasukan melakar kemenangan pertama pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
“Fernandes jarang gagal sempurnakan sepakan penalti. Dia tahu betapa pentingnya sepakan tersebut dalam usaha membantu pasukan tetapi inilah hakikat yang perlu kita hadapi.
“Kegagalan tersebut jelas mengganggu fikirannya sehingga gagal beraksi dengan baik pada sepanjang perlawanan tetapi kita tidak boleh salahkan Fernandes semata-mata,” katanya.

Mengulas lanjut, Amorim mahu semua pemain memikul tanggungjawab untuk memastikan pasukan dapat kembali berada di landasan kemenangan buat kali pertama musim ini.
“Secara jujur, prestasi kita masih belum lagi berada pada tahap terbaik tetapi saya harap pemain kekal fokus dan percaya dengan falsafah yang kita terapkan kerana kemenangan akan tiba,” katanya.
United dikritik hebat selepas berbelanja besar sebanyak £196.5 juta (RM1.11 bilion) yang boleh meningkat hingga £214.5 juta (RM1.21 bilion) termasuk bonus tetapi masih belum menunjukkan keputusan apabila sekadar menduduki tangga ke-16 selepas dua aksi EPL.
Disebabkan itu, United tidak boleh tewas kepada Grimsby Town pada pusingan kedua Piala EFL awal pagi Khamis ini bagi meredakan tekanan para peminat yang kini sudah mula hilang sabar dan segelitirnya mendesak Amorim agar melepaskan jawatannya. – AGENSI