CYBERJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mendapatkan penjelasan daripada pihak Universiti Malaya (UM) berhubung isu adegan tidak senonoh dalam sebuah persembahan teater yang tular di laman sosial sejak semalam.
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, beliau ada melihat laporan mengenai isu tersebut di laman sosial, namun perlu mendapatkan maklumat berkaitan terlebih dahulu.
“Tadi saya ada tengok, ada dalam media sosial. Saya akan dapatkan maklumat terlebih dahulu daripada pihak UM.
“Apa pun, saya akan dapatkan (maklumat),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Naik Taraf Perpustakaan Digital Universiti of Cyberjaya (UoC) di sini hari ini.
Terdahulu, satu rakaman video memaparkan seorang lelaki dan wanita melakonkan babak intim di atas pentas tular di media sosial, sejak semalam.
Difahamkan, rakaman itu adalah sebahagian daripada pementasan teater yang diadakan di UM.
Awal hari ini, universiti berkenaan menerusi satu kenyataan memohon maaf atas kekhilafan serta sebarang kegusaran yang timbul susulan pementasan teater oleh pasukan teater kolej yang didakwa memaparkan unsur tidak senonoh hingga tular di media sosial.
UM memaklumkan, pihaknya memandang serius perkara berkenaan serta mengambil maklum segala kebimbangan yang dibangkitkan. – KOSMO! ONLINE














