PETALING JAYA – “Para isteri nak bermanja tu tak ada masalah, teruskan. Tapi pesan dekat ‘majikan’ tu, sebelum nak bedal sarapan pagi, tolong sental tangan dengan sabun sampai hilang warna merah tu ”
Itu pesanan Public Health Malaysia (PHM) kepada semua pasangan suami isteri yang mengamalkan amalan bersalam-salaman sebelum keluar rumah meneruskan urusan masing-masing, hari ini.
Menurut PHM, amalan itu sememangnya romantik tetapi tangan suami yang terkena cop lipstik isteri, kalau tidak dibasuh bersih dengan sabun, boleh membawa padah.
Jelas PHM, lipstik direka untuk melekat lama dan kalis air berpunca daripada bahan kimia kosmetik antaranya lilin (wax), pewarna sintetik, pewangi, pengawet (paraben), dan ada jenama mengandungi surih logam berat seperti plumbum.
“Bayangkan jam 8 pagi lepak kedai mamak, tangan tu jugaklah yang diguna untuk gaul nasi lemak atau cicah roti canai. Jangan jadikan lipstik sebagai perasa tambahan.
“Benda-benda ni semua adalah bahan kosmetik luaran. Ia langsung bukan ‘food grade’ (gred makanan) dan tak direka untuk masuk ke dalam usus kita,” kata PHM menerusi kenyataan di media sosial.
Tambah PHM, perut seseorang boleh meragam jika bahan-bahan kimia itu bercampur dengan minyak nasi lemak dan masuk dalam perut.
“Ia boleh buat perut meragam atau cirit-birit. Kalau hari-hari telan sisa pewarna lipstik isteri, lama-lama organ dalaman pula yang kena kerja keras nak cuci toksik.
“Mesti ada suami kat ofis korang yang tengah buat kerja sambil tayang cop bibir kat tangan pagi ni kan? Tiga hari kawan ofis bahan pun tak habis gelak ni,” ujar kenyataan itu lagi. – KOSMO ONLINE














