SHAH ALAM – Kerajaan negeri tidak menghalang idea pembinaan sekolah menegak di mana-mana kawasan perumahan bagi menampung kekurangan sekolah di negeri ini.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari, idea penubuhan sekolah tersebut amat sesuai untuk diwujudkan di kawasan berpenduduk padat seperti di bandar.
“Kita sedia menerima (sekolah menegak) terutama di kawasan-kawasan penduduk memandang antara asas yang digunakan negara-negara maju di kawasan berkepadatan tinggi.
“Saya percaya ( idea sekolah menegak) boleh digunakan, cuma kita perlu bersedia mengikut garis-garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak kementerian terutama perancang bandar dan PLAN Malaysia,” katanya selepas program penyampaian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di Kolej Tingkatan Enam Shah Alam Seksyen 24 hari ini.
Mengulas cadangan pembinaan sekolah dalam projek mega, Amirudin berkata, cadangan tersebut sesuai untuk kawasan-kawasan baharu yang mempunyai tanah kosong.
Berhubung BAP tersebut, beliau memaklumkan seramai 5,965 pelajar tingkatan enam melibatkan 37 buah sekolah di seluruh negeri menerimanya dengan jumlah keseluruhan bernilai RM894,750 selain baucar buku sebanyak RM200. – KOSMO! ONLINE