PETALING JAYA – Public Health Malaysia (PHM) menasihatkan ibu bapa agar tidak terlalu mudah menggunakan gajet sebagai jalan pintas untuk menenangkan anak yang merengek.
Menerusi satu perkongsian di Facebook, PHM menekankan bahawa kebergantungan kepada skrin pada usia kecil boleh memberi kesan terhadap perkembangan emosi dan hubungan kekeluargaan.
“Ada ibu bapa yang hari-hari diuji dengan rengekan anak. Kadang anak rapat, peluk, kacau, kita pula rasa serabut kerana tangan masih melekat dengan telefon.
“Dalam keadaan dunia serba mudah ini, pilihan paling senang ialah hulur gajet. Anak diam, ibu bapa lega,” kata PHM.
Namun, PHM menegaskan masih ada segelintir ibu bapa yang memilih untuk tidak menyerahkan gajet kepada anak mereka meskipun berdepan kepenatan dan gangguan.
“Tahniah kepada ibu dan bapa yang sampai hari ini masih berpegang pada prinsip itu. Bukan mudah melawan arus zaman, bila orang sekeliling menganggap normal sahaja beri anak tablet. Tetapi anda tetap memilih jalan yang lebih sukar, demi masa depan anak,” puji PHM.
Tambah PHM, perhatian dan kasih sayang ibu bapa pada waktu kecil adalah keperluan utama anak-anak, malah rengekan atau kemanjaan mereka seharusnya dilihat sebagai tanda anak kecil itu masih memerlukan perhatian sepenuhnya.
“Manja anak itu cuma sekejap. Rapat mereka itu bukan gangguan, tetapi tanda mereka masih perlukan kita sepenuhnya. Percayalah, satu hari nanti bila mereka dewasa dan sibuk dengan hidup sendiri, fasa itu takkan kembali.
“Hari ini mungkin penat. Tapi usaha anda adalah hadiah paling besar untuk jiwa dan emosi anak di masa depan,” jelas PHM. – KOSMO! ONLINE