KEMUNCAK gangguan dirasakan Anisah apabila kucing peliharaannya, Denny mati tiba-tiba dengan mulut berdarah. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Kucing peliharaan mati terkena ‘buatan orang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGALAMAN diganggu makhluk halus bukanlah sesuatu yang asing dalam masyarakat kita. Namun bagi Anisah Ali, ia menjadi satu detik yang paling menyeramkan dalam hidupnya. 

Segalanya bermula selepas dia berumah tangga dan berpindah di kediaman baharu di Utara tanah air. 

Di sana, dia tinggal dengan suami bersama seekor kucing kesayangannya. 

Pada awalnya, suasana kelihatan normal, namun lama-kelamaan muncul tanda-tanda aneh sehingga mengubah kediaman yang sepatutnya paling selamat menjadi medan ketakutan.

Kata wanita berusia 39 tahun itu, gangguan bermula selepas  dua minggu dia dan suami menghuni kediaman tersebut apabila muncul lembaga hitam menyerupai fizikal manusia dewasa. 

“Sesekali lembaga itu kelihatan seperti bayangan besar dengan mata merah menyala, namun ada juga ‘dia’ menampakkan diri dalam fizikal manusia. 

“Lebih parah apabila ia muncul menyerupai suami. Apabila saya lihat, dia tidak bergerak dan hanya berdiri melihat ke arah luar tingkap di dapur. 

“Saya memanggil namanya, tetapi tak berjawab. Kemudian, saya abaikan dan terus ke ruang tamu. Tak lama selepas itu, saya terkejut apabila melihat suami masuk ke dalam rumah dari pintu depan. 

“Apabila melihat semula ke ruang dapur, bayangan itu sudah hilang,” katanya kepada CitaRasa. 

Gangguan tersebut tidak terhenti di situ, dia juga sering mendengar bunyi aneh seolah-olah guli atau batu bergolek di atas bumbung terutama pada waktu malam. 

Kadangkala, bunyi itu membuatkan Anisah terbangun hampir pada awal pagi. 

Lebih menyeramkan, dia sering terbangun sekitar pukul 3 pagi dan terdengar suara bising di dapur seperti ada orang sedang masak atau mengalihkan pinggan mangkuk. 

Namun setiap kali diperiksa, dapur kelihatan seperti biasa tanpa kelibat sesiapa. 

“Di rumah teres satu tingkat itu hanya ada saya, suami serta kucing kami. Kami tiada pembantu rumah.

“Apabila kejadian itu berlaku, saya selalu kejutkan suami untuk pergi periksa. 

“Setelah diperiksa, tiada sebarang perubahan atau sesuatu yang aneh. Selalunya selepas pergi periksa, kami akan sambung balik tidur. 

“Disebabkan kejadian itu kerap berlaku, jadi kami seperti sudah terbiasa,” ujarnya. 

Bagaimanapun, kesabaran Anisah akhirnya memuncak apabila kucing peliharaannya yang dinamakan Deny itu mati secara tiba-tiba.

Kata Anisah, kucing malang itu kelihatan sihat tanpa sebarang tanda-tanda sakit, sebelum ditemui terbaring kaku dengan mulut berdarah tiba-tiba. 

“Setelah kematian Deny, saya tak anggap gangguan ini perkara biasa. Keluarga juga mendesak agar saya dan suami mendapatkan khidmat rawatan tradisional Islam. 

“Selepas hampir empat bulan berubat, saya rasa bersyukur akhirnya tiada lagi gangguan-gangguan mistik,” katanya.

Dalam keadaan bersyukur itu, namun Anisah berasa terkilan kerana kejadian mistik tersebut dipercayai berlaku disebabkan perbuatan sihir seseorang.

“Pada mulanya kami fikir rumah baharu kami huni itu yang memang berhantu, kemudian kami dimaklumkan oleh ustaz merawat kami, ia dipercayai angkara sihir atau niat jahat orang,” katanya. 

Enggan ambil pusing identiti pihak tidak berhati perut itu dan mengapa tergamak bertindak sebegitu, mereka hanya teruskan hidup seperti biasa.

“Bagaimanapun,  hati saya tetap pilu kerana kehilangan kucing kesayangan yang menjadi mangsa perbuatan sihir,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN