LONDON – Legenda MotoGP, Giacomo Agostini memuji keberanian Marc Marquez yang sanggup mengetepikan tawaran wang yang lumayan demi mengejar impian untuk kembali merangkul kejuaraan bersama Ducati.
Juara dunia MotoGP enam kali itu membuat keputusan mengejut apabila meninggalkan Repsol Honda pada penghujung 2023, setahun lebih awal daripada kontraknya untuk menyertai pasukan satelit Gresini Ducati.
Langkah itu diambil bagi menghidupkan semula kariernya akibat kecederaan dan dilihat sukar untuk mencipta kemenangan bersama jentera Honda.
Percaturan Marquez membuahkan hasil apabila pelumba Sepanyol itu berjaya meraih tiga kemenangan Grand Prix (GP) bersama jentera Ducati spesifikasi lama pada musim 2024.
Prestasi cemerlang itu sudah cukup untuk meyakinkan pengurusan tertinggi Ducati dan kemudian menawarkannya kerusi pasukan kilang bagi musim 2025, menyingkirkan juara bertahan, Jorge Martin yang berpindah ke Aprilia.
Kini selepas 13 pusingan musim 2025, Marquez kembali ke puncak prestasinya dengan mengumpul sembilan kemenangan GP dan 12 kejayaan sprint untuk mendahului kejuaraan dengan kelebihan 142 mata, menghampiri gelaran juara dunianya buat kali ketujuh.
“Dia sangat hebat dan sangat berbakat. Saya rasa hari ini Marquez kembali tersenyum kerana mempunyai jentera yang bagus dan boleh menunjukkan bakatnya.
“Dia mempunyai keberanian untuk bertukar dari Honda ke Ducati dan saya fikir dia menolak tawaran wang yang sangat banyak selepas bertahun-tahun bersama Honda.
“Tetapi dia mahu menang. Dia pernah memberitahu saya, jika dia hanya menamatkan perlumbaan di tempat kelima, keenam atau ketujuh, dia tidak mahu berlumba lagi,” kata Agostini. – AGENSI