KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan polis susulan dakwaan agensi berita Bloomberg bahawa Perdana Menteri campur tangan dalam urusan suruhanjaya itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, berdasarkan input yang diterimanya, kertas siasatan oleh PDRM sudah pun dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, kebebasan bersuara sememangnya dijamin di bawah Perkara 10 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan, namun hak tersebut tidak bersifat mutlak kerana masih tertakluk kepada sekatan di bawah Perkara 10 (2)(a).
“Kerajaan ingin menegaskan bahawa kita tekad untuk mempertahankan hak kebebasan ini selaras dengan semangat demokrasi dan prinsip-prinsip Perlembagaan.
“Bagi kes-kes fitnah, ia tertakluk di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan, dan untuk makluman Ahli Yang Berhormat, tiada had masa ditetapkan bagi memfailkan tindakan jenayah berkaitan fitnah ini,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai perancangan kerajaan dalam mengambil tindakan undang-undang terhadap Bloomberg atas dakwaannya mengenai campur tangan kerajaan dalam siasatan SPRM berkaitan pembelian saham oleh bekas setiausaha politik Perdana Menteri.
Pada 26 September 2024, Bloomberg menerbitkan laporan memetik sumber yang mendakwa Anwar mengarahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki supaya tidak menyiasat bekas pembantunya, Datuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, berhubung pembelian saham dalam HeiTech Padu Bhd. – KOSMO! ONLINE