DALAM ekonomi yang semakin mencabar kini, ramai pekerja di negara ini mula melakukan kerja sambilan.
Sama ada untuk menambah pendapatan, membayar komitmen kewangan dan lain-lain lagi, trend membuat kerja sambilan kini menjadi semakin popular terutamanya mereka yang tinggal di bandar-bandar besar.
Sebelum itu, kita perlu fahami dahulu maksud kerja. Untuk makluman, kerja bermaksud aktiviti yang melibatkan usaha fizikal atau mental untuk mendapatkan upah.
Dalam konteks pekerjaan moden, istilah ‘kerja sambilan’ merujuk kepada usaha seseorang untuk membuat kerja lain di luar waktu tugas hakikinya.
Contohnya, seseorang mungkin bekerja sepenuh masa sebagai eksekutif pemasaran pada siang hari dan bekerja sambilan sebagai tutor atau pemandu e-hailing pada waktu malam.
Untuk dijadikan cerita, baru-baru ini, penulis terjumpa seorang rakan lama di salah sebuah pasar raya terkemuka di ibu negara.
Sewaktu pertemuan tersebut, penulis dapati dia mengenakan pakaian p-hailing berwarna hijau sambil membawa bungkusan makanan di dalam plastik.
Setahu penulis, dia berkhidmat sebagai kerani di salah sebuah syarikat swasta di Selangor. Selepas berbual, dia memberitahu bahawa p-hailing merupakan kerja sambilannya pada hujung minggu.
Katanya, kerja sambilan itu dilakukan bagi menampung kos sara hidup yang tinggi di bandar.
Tambahan pula, isterinya tidak bekerja dan memiliki anak ramai yang masih bersekolah.
Penulis memuji sikap dan inisiatifnya untuk menambah pendapatan bagi menampung perbelanjaan keluarga. Dia merupakan ketua keluarga yang bertanggungjawab.
Bagaimanapun, terdetik beberapa persoalan dalam diri penulis.
Pertamanya, jika seseorang itu terpaksa buat kerja pada hujung minggu, ia akan mengurangkan masa rehatnya.
Hal ini kerana, golongan berkenaan terpaksa mengorbankan masa rehat mereka pada hujung minggu untuk bekerja sambilan.
Sekiranya berlaku keletihan melampau, ia akan memberi kesan kepada kesihatan mereka.
Selain itu, mereka yang membuat kerja sambilan pada waktu terluang atau hujung minggu juga terpaksa mengorbankan masa berharga bersama keluarga.
Ketika orang lain sedang menghabiskan masa bersama keluarga untuk bercuti atau bersiar-siar di pusat beli-belah, sebaliknya golongan ini terpaksa membiarkan isteri dan anak-anak di rumah.
Situasi berkenaan dikhuatiri akan memberi tekanan kepada hubungan dan mengurangkan kesejahteraan emosi dalam kalangan ahli keluarga. Malah, anak-anak juga akan berasa kurang kasih sayang daripada seorang ketua keluarga.
Hakikatnya, penulis merasakan tidak semua yang membuat kerja sambilan itu akan memberi kesan negatif kepada diri dan keluarga selagi mana mereka tahu mengatur masa.
Dalam keghairahan mencari pendapatan tambahan, golongan ini perlu memikirkan soal rehat dan kesihatan, selain mencari masa berkualiti bersama keluarga tercinta.














