fbpx
Gambar hiasan.

Doktor wanita rugi RM468,000, terperdaya skim pelaburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Tertarik dengan iklan pelaburan dikaitkan dengan seorang doktor yang juga perunding kewangan, seorang pegawai perubatan kerugian RM468,000 selepas terjerat skim pelaburan tidak wujud dalam talian.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula pada 30 Mei lalu selepas doktor wanita berusia 55 tahun itu tertarik dengan iklan di Facebook yang mempromosi skim pelaburan saham dikaitkan dengan individu bergelar doktor.

“Mangsa kemudian dihubungi suspek kononnya wakil syarikat pelaburan antarabangsa berpangkalan di Singapura. Suspek menjanjikan keuntungan 80 hingga 128 peratus dalam masa sebulan.

“Akibat terpengaruh, mangsa membuat 14 transaksi berjumlah RM468,000 ke dalam empat akaun bank dari 17 Jun hingga 6 Ogos lalu menggunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, selepas pembayaran dibuat, mangsa diberikan paparan keuntungan palsu melalui gambar yang dihantar suspek kononnya memperoleh RM800,000 termasuk modal.

Katanya, mangsa kemudian diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM152,725 iaitu cukai sebelum dibenarkan mengeluarkan keuntungan tersebut.

Namun katanya mangsa mula berasa curiga dan enggan membuat bayaran lanjut.

“Semakan mendapati syarikat yang dinyatakan sebuah syarikat pengurusan pelaburan sah yang berpusat di Jepun dan mempunyai cawangan di beberapa negara lain.

“(Namun) Nama syarikat itu disalahgunakan oleh ‘scammer’ untuk memperdaya mangsa,” katanya.

Polis Pahang menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat khususnya yang dipromosi melalui media sosial.

Sebelum melakukan sebarang transaksi, semakan awal boleh dibuat di portal rasmi https://semakmule.rmp.gov.my bagi mengenal pasti akaun bank yang mempunyai rekod penipuan.

“Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan supaya segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI