PARIT BUNTAR – Seorang wanita berstatus orang kurang upaya (OKU) rentung dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Parit 310, Bagan Tiang di sini awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada pukul 2.34 pagi.
Katanya, kebakaran melibatkan rumah dua tingkat yang musnah kira-kira 70 peratus dan sebuah kenderaan jenis Proton Iriz.
“Seorang wanita berusia 48 tahun meninggal dunia di dalam rumah tersebut, manakala ibunya yang berusia 71 tahun cedera di kedua-dua tapak kaki. Warga emas itu diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan untuk rawatan lanjut,” katanya hari ini.
Sabarodzi berkata, kebakaran dapat dikawal pada pukul 3 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6.25 pagi. – KOSMO! ONLINE














