SEBERANG PERAI – Seorang pemandu lori didenda RM97,200 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan memperdaya dua individu berhubung urusan tuntutan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), tahun lalu.
Hakim Zulhazmi Abdullah membuat keputusan itu selepas A. Ari,37, mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan pilihan semasa sebutan kes hari ini.
Zulhazmi turut memerintahkan bekas penasihat tuntutan firma guaman itu didenda 12 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menipu Muhammad Helmi Abd Rahman,36, dengan memperdayakan beliau untuk mempercayai bahawa dia boleh menguruskan peratusan tafsiran
penilaian Hilang Upaya Kekal (HUK) yang tinggi oleh Jemaah Doktor dalam tuntutan Perkeso sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM50,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada September 2023 di sebuah restoran di Seberang Jaya.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memperdaya seorang lagi lelaki, Mohammad Azrin Ibrahim,29, menggunakan modus operandi sama sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan wang RM47,200 kepadanya di lokasi yang sama.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh.
“Sekiranya mahkamah ingin membenarkan hukuman berbentuk denda saya mohon sejumlah denda yang munasabah,” katanya.
Peguam, S. Parameswaran yang mewakili tertuduh pula memohon denda minima susulan anak guamnya yang kini bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan antara RM4,000 hingga RM5,000 selepas dipecat daripada firma guaman.
“Anak guam saya juga menanggung ibunya dan dua anak yang masih bersekolah serta isteri yang juga suri rumah. Dia juga berdepan kesusahan dengan terpaksa menggadai barang kemas isterinya untuk mendapatkan RM60,000 bagi membayar denda,” katanya.
Difahamkan, tertuduh telahpun membayar denda yang dikenakannya sejurus pendakwaan selesai dijalankan. -KOSMO! ONLINE