fbpx
LORONG percubaan ANPR di Plaza Tol Subang merupakan sistem pembayaran terbuka tol berasaskan teknologi ANPR. – M. FIRDAUS M. JOHARI

Teknologi ANPR bantu atasi kesesakan di plaza tol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGGUNA lebuh raya bakal menikmati pengalaman perjalanan lebih lancar dengan pelancaran sistem pembayaran terbuka tol berasaskan teknologi Automatic Number Plate Recognition (ANPR) yang diperkenalkan oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

Inovasi tersebut membolehkan pengguna membuat pembayaran tanpa perlu memberhentikan atau memperlahankan kenderaan untuk melakukan pembayaran atau tambah nilai.

Melalui platform digital bersepadu, pengguna boleh menikmati fleksibiliti pelbagai mod pembayaran digital tanpa tunai termasuk paparan e-invois dan semakan transaksi tol.

Bagi melancarkan urusan pembayaran, pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian menggunakan maklumat diri dan kenderaan sebelum membuat pilihan kaedah pembayaran sama ada sistem perbankan atau e-dompet.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang meninjau sistem tersebut di Persada PLUS, Petaling Jaya, Selangor menyifatkan transformasi berkenaan sebagai bukti negara mengadaptasi teknologi seiring perkembangan semasa.

Katanya, kamera yang dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) akan merakam gambar nombor plat pendaftaran kenderaan sekali gus membuat pembayaran.

“Pengguna perlu membuat pendaftaran yang sahih dan nombor pendaftaran tersebut perlulah sama dengan maklumat kenderaan seperti jenis, warna dan sebagainya.

“Nombor pendaftaran juga perlu berada pada tahap standard bagi membolehkan kamera mengenal pasti kenderaan dan membuat pembayaran,” katanya yang ditemui dalam majlis sidang media demonstrasi sistem pembayaran ANPR di Persada PLUS baru-baru ini.

Beliau turut menegaskan tindakan undang-undang akan dibuat sekiranya pengguna gagal membuat bayaran.

ALEXANDER (kiri) ketika meninjau sistem ANPR di Persada PLUS, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

“Pengguna jalan raya perlu jujur dan menggunakan nombor pendaftaran mengikut standard ditetapkan.

“Pengguna yang gagal berbuat demikian akan dikenal pasti dan berdepan dengan tindakan undang-undang,” katanya.

Sebagai langkah awal, sistem ANPR akan dilaksanakan secara rintis di laluan Hutan Kampung, (Kedah) ke Sungai Dua Lebuh Raya Utara-Selatan bermula Oktober ini, sebelum diperluas ke seluruh rangkaian lebuh raya PLUS yang membolehkan pengguna melalui mana-mana lorong sedia ada tanpa henti, sekali gus mengurangkan kesesakan.

Menyambut baik kemudahan tersebut, pekerja swasta, Wan Hazwana Wan Hamedi meluahkan rasa gembira apabila tidak perlu lagi merasai pengalaman kesesakan lalu lintas di plaza tol.

Selain dapat melancarkan pemanduan, kaedah pembayaran secara ANPR membuktikan Malaysia mampu berdaya saing dengan negara antarabangsa yang mengamalkan cara sama seperti

Singapura, China, Jepun dan Amerika Syarikat.

“Selepas ini pengguna tidak perlu lagi berdepan dengan masalah kegagalan mengesan pelekat RFID, tiada kad Touch ‘n Go atau alat SmartTAG kehabisan bateri kerana semua sudah dibuat secara automatik menerusi nombor pendaftaran.

“Pemandu juga tidak perlu menghabiskan masa di plaza tol akibat kesesakan berpunca daripada masalah kekurangan baki sehingga perlu mengundurkan kereta atau memilih lorong untuk buat bayaran,” katanya.

Inisiatif tersebut merupakan hasil kerjasama Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi lebuh raya yang dibangunkan sepenuhnya oleh pakar tempatan (swasta) tanpa kos kepada kerajaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN