KOTA BHARU – Lebih 95 peratus daripada 102 orang klien atau remaja dan belia yang menjalani pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Kota Bharu, Pengkalan Chepa dekat sini didapati tidak menamatkan persekolahan mereka.
Pengarah Puspen Kota Bharu, Adzmiral Nawi berkata, hasil pemeriksaan latar belakang klien mendapati, kebanyakan mereka hanya bersekolah sehingga sekolah menengah rendah semasa terjebak dalam ketagihan dadah.
Menurutnya, melalui pemeriksaan itu, klien terlibat didapati terus bekerja sebagai buruh pada usia 16 dan 17 tahun untuk mencari wang bagi membeli pil kuda, air ketum atau dadah lain.
“Kebanyakan mereka tidak mempunyai kematangan dalam berfikir. Berikutan keadaan keluarga dan persekitaran terdedah dengan dadah, mereka mudah berhenti sekolah malah tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia.
“Biasanya klien di puspen yang terjebak dadah akan mula mencuba minum air ketum, pil kuda atau ubat penenang jenis epam kerana bahan itu mudah diperoleh sebelum mereka menjurus ke arah penyalahgunaan dadah sintetik lain,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Puspen Kota Bharu, Pengkalan Chepa di sini baru-baru ini.
Adzmiral memberitahu, meskipun tidak menamatkan persekolahan, kebanyakan klien yang menjalani pemulihan terdiri daripada golongan latar belakang keluarga berpendapatan sederhana.
Katanya, remaja yang terlibat dengan pil kuda pada awalnya tersilap langkah semasa berkawan sehingga terpengaruh dengan kegiatan penyalahgunaan dadah.
Kosmo! semalam melaporkan, remaja seawal usia 12 tahun terjebak dengan penagihan pil kuda ekoran terpengaruh dengan dadah itu yang dijual secara berleluasa dalam kalangan murid serta pelajar sekolah.














