PETALING JAYA – Anak yang kelihatan baik di mata ibu bapa mungkin tanpa sedar menjadi pembuli di sekolah meskipun bukan berbentuk serangan fizikal, tetapi melalui kata-kata, perlakuan halus serta manipulasi yang mampu merosakkan keyakinan rakan sebaya.
Menurut Public Health Malaysia (PHM), fenomena buli senyap ini semakin membimbangkan kerana kesannya tidak selalu kelihatan secara fizikal, tetapi meninggalkan parut emosi yang mendalam kepada mangsa.
Jelas PHM, tanda-tanda buli senyap termasuk membuat lawak yang memalukan orang lain, memanipulasi kawan serta bermain kasar tetapi menganggap sebagai gurauan.
“Anak kita tak pernah tumbuk orang, tapi mungkin dia pembuli. Buli bukan selalu tinggalkan lebam di badan kadang-kadang, ia meninggalkan luka yang tak nampak di hati.
“Daripada ‘lawak’ yang memalukan, daripada geng yang memilih siapa layak berkawan, daripada bisikan kecil yang meruntuhkan keyakinan orang lain,” kata PHM.
PHM turut mengingatkan bahawa walaupun tiada lebam di badan, mangsa mungkin membawa luka emosi yang dalam sehingga memberi kesan kepada kesihatan mental dan prestasi akademik mereka.
“Sedikit demi sedikit, semangat mangsa semakin pudar. Ia bukan gurauan, ia adalah luka. Kita takkan tahu, sampai satu hari mereka memilih untuk diam selamanya,” katanya.
Sehubungan itu, PHM menyeru ibu bapa, guru dan masyarakat supaya peka dalam mengenal pasti tanda-tanda buli senyap ini serta mengambil langkah pencegahan sebelum ia memusnahkan kehidupan remaja.
“Lindungi anak kita daripada menjadi pembuli senyap,” pesan PHM. – KOSMO! ONLINE