fbpx
AKPS memeriksa treler yang disyaki digunakan untuk menyeludup diesel ke negara jiran.

AKPS patahkan cubaan seludup 2,500 liter diesel guna treler

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKIT KAYU HITAM – Cubaan pemandu sebuah treler dari negara jiran menyeludup 2,500 liter diesel bernilai RM7,500 berjaya dipatahkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), di sini hari ini.

Ketua Bahagian Operasi Khas AKPS Bukit Kayu Hitam, Tuan Saiful Jefrey berkata, kenderaan berat itu ditahan dalam pemeriksaan rutin di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dari pukul 8.30 pagi hingga 11 pagi tadi.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemukan ruang tangki simpanan pada treler yang diubah suai khusus untuk menyembunyikan diesel bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Jumlah diesel yang dirampas adalah kira-kira 2,500 liter bernilai RM7,500, manakala rampasan treler dianggarkan bernilai RM80,000,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Pengangkutan Jalan 1987 ubah suai kenderaan bagi tujuan penyeludupan) dan Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (penyitaan kenderaan untuk siasatan).

“Rampasan ini membuktikan komitmen berterusan AKPS dalam membanteras aktiviti penyeludupan di sempadan negara terutama yang melibatkan pengubahsuaian kenderaan untuk membawa bahan kawalan.

“AKPS akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik bersama semua agensi penguatkuasaan bagi memastikan integriti sempadan negara terpelihara dan setiap cubaan penyeludupan dapat ditumpaskan,” tegasnya.

Tambahnya, rekod operasi AKPS pada tahun ini sehingga hari ini, sebanyak 10 kenderaan pelbagai jenis ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes penyeludupan diesel melalui pengubahsuaian tangki dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM957,800.

Sementara itu, dalam kes berasingan, sebanyak tujuh Notis Penolakan Masuk (NPM) dikeluarkan ke atas enam warga Thailand dan seorang India yang disyaki bukan pelancong tulen di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam pada semalam selaras dengan Pekeliling Imigresen Malaysia Terhad (PIMT).

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M. Nasir berkata, mereka disyaki tidak memenuhi syarat Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen (ATKPI) NPM dan tidak mempunyai pasport yang sah iaitu pas sempadan rosak.

“Penolakan masuk dibuat mengikut peruntukan Seksyen 8(3), Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memenuhi syarat kemasukan sebagai pelawat ke Malaysia.

“Semua individu telah diarahkan supaya berpatah balik ke negara asal melalui laluan masuk yang sama. Tiada rampasan dilakukan dan tiada elemen jenayah atau siasatan penguatkuasaan dikenal pasti,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI