fbpx
Keadaan sebuah treler yang terjatuh ke dalam gaung di Kilometer 90, Jalan Gua Musang–Lojing dekat Gua Musang semalam. Foto POLIS

Pemandu cemas, treler alami masalah brek jatuh gaung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Seorang pemandu treler melalui detik cemas ketika berhenti dan membuat pemeriksaan pada bahagian brek apabila kenderaan berat yang dia pandu itu tiba-tiba bergerak sebelum terjatuh ke dalam gaung di Kilometer 90, Jalan Gua Musang–Lojing di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, lelaki berusia 30 tahun tidak mengalami kecederaan kerana sudah keluar dari kenderaan tersebut.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 10 pagi melalui panggilan telefon daripada anggota di Pondok Polis Lojing.

Katanya, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika treler itu sedang dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang, Selangor menuju ke Lojing di sini.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, pemandu treler itu dikatakan menyedari kenderaannya mengalami masalah brek lalu memberhentikan treler di bahu kiri jalan untuk melakukan pemeriksaan.

“Ketika pemeriksaan dijalankan, treler itu secara tiba-tiba bergerak sendiri dan menggelongsor ke depan sebelum merempuh tembok lalu terjatuh ke dalam gaung di sebelah bahu kiri jalan,” katanya.

Choon Foo memberitahu, tiada kecederaan dilaporkan dan pemandu treler terbabit selamat dalam kejadian tersebut. Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan siasatan lanjut masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN