fbpx
ISU beg sekolah berat masih membelenggu murid-murid dan perlu diselesaikan segera oleh pihak berwajib. – GAMBAR HIASAN

Luahan Pembaca: ‘Sampai bila isu beg sekolah berlanjutan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Saudara Pengarang,

ISU beg berat melibatkan murid-murid sekolah bagaikan tiada kesudahan apabila terus membebani murid-murid pada masa ini walaupun sebelum ini pelbagai pihak tampil memberikan perhatian bagi menyelesaikannya.

Sebagai penjaga yang menghantar anak-anak ke sekolah, saya melihat dua anak perempuan terpaksa menggalas beg berat yang cukup menyeksakan pada pandangan ibu bapa.

Malah lebih membebankan apabila saya pernah melihat murid-murid termasuk anak saya yang menaiki tangga bangunan terpaksa berhenti sekejap untuk melepaskan lelah dan penat.

Sebagai penjaga, saya dan ibu bapa lain bukan sahaja rimas melihat bebanan anak-anak membawa beg yang berat, malah bimbang akan memberikan kesan jangka panjang dan pendek.

Saya pernah memeriksa jadual persekolahan anak-anak dan jelas sememangnya buku yang dibawa adalah mengikut jadual dan ia masih berat, mungkin hampir sama dengan berat murid sendiri.

Anak saya juga pernah mengadu sakit bahu kerana terpaksa membawa buku-buku yang berat menyebabkan saya berasa bimbang jika keadaan ini berterusan.

Jadi, persoalan saya di sini sampai bilakah isu beg berat ini akan berterusan membebani murid-murid sekolah dan mana perginya pelbagai cadangan bagi menangani isu ini sebelum ini.

Janganlah isu ini hanya diberi perhatian semasa dimainkan oleh pihak media dan kemudian senyap tanpa penyelesaian.

Kepada pihak berkenaan diharap memainkan peranan memastikan segala janji dan perancangan dibuat bagi mengatasi isu ini dapat dikotakan.

Ibu bapa risau,
Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI