PETALING JAYA – Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan di Parlimen pada 10 Oktober 2025 akan terus menyediakan bantuan sosioekonomi bagi melindungi kumpulan berisiko tinggi yang terjejas akibat tekanan kos sara hidup.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan berkata, bantuan itu bertujuan menyediakan sokongan pendapatan supaya semua lapisan masyarakat dapat menikmati kehidupan yang bermaruah dan sejahtera.
Menurut MoF, Belanjawan 2026 akan memastikan rakyat mampu memperoleh keperluan asas, terutama makanan dan barangan keperluan di samping memperkukuh keterjaminan bekalan makanan negara.
“Pada masa sama, kerajaan akan berusaha mengurangkan kesilapan dalam penyasaran, sama ada penyertaan yang tidak sepatutnya mahupun pengecualian yang tidak wajar agar bantuan disasarkan dengan tepat kepada golongan memerlukan.
“Penambahbaikan ini akan mewujudkan sistem perlindungan sosial yang kukuh, mengikut keperluan semasa dengan penggunaan data dan automasi bagi menyampaikan sokongan dengan lebih tepat, pantas dan bermaruah,” kata kenyataan itu hari ini.
MoF berkata, Belanjawan 2026 mengukuhkan komitmen kerajaan terhadap pertumbuhan yang inklusif bagi memastikan semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dan peringkat kehidupan mempunyai capaian saksama kepada peluang.
Jelas MoF, strategi pemerkasaan kumpulan sasar adalah golongan belia, wanita, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), Orang Asli dan Bumiputera supaya tiada siapa tercicir semasa negara membina keupayaan, memupuk maruah dan terus maju.
Tambah MoF, Belanjawan 2026 akan turut merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar serta memodenkan pembangunan wilayah termasuk kawasan terpencil dan kurang mendapat perhatian di Sabah dan Sarawak.
“Pelaburan utama akan tertumpu kepada infrastruktur dan utiliti asas termasuk jalan raya, air terawat, elektrik, sistem pembentungan dan internet berkelajuan tinggi,” kata kenyataan itu.
Menurut MoF, Belanjawan 2026 akan turut memberi tumpuan terhadap reformasi perkhidmatan kesihatan bagi menjamin keselamatan kesihatan melalui penjagaan yang mampu milik, saksama dan berkualiti.
Tumpuan utama termasuk perlindungan lebih menyeluruh kepada golongan rentan, meningkatkan akses kepada ubat-ubatan mampu milik, penambahbaikan sistem penjagaan asas di kawasan luar bandar
Selain itu, Belanjawan 2026 akan menyaksikan reformasi sektor pendidikan melalui penubuhan Majlis Pendidikan Negara yang bakal
menyelaras pelaksanaan di semua peringkat kerajaan dan institusi pendidikan.
“Kerajaan juga bertekad untuk meningkatkan keberhasilan pendidikan merentas semua latar belakang sosioekonomi dan memastikan pembelajaran asas pelajar diperkukuh.
“Belanjawan 2026 akan meneruskan momentum dalam bidang STEM, TVET dan pembelajaran sepanjang hayat sejajar dengan strategi tenaga kerja nasional dan sektor pertumbuhan tinggi masa hadapan,” kata MoF.
Terdahulu, MoF berkata, reformasi pasaran buruh dalam Belanjawan 2026 akan menumpukan kepada peningkatan kebolehpasaran dan akses kepada peluang menjana pendapatan lebih tinggi.
Kata MoF, selain pelaksanaan gaji minimum, usaha juga tertumpu kepada mewujudkan pertumbuhan gaji mampan bagi menjamin peningkatan taraf hidup rakyat serta memperkukuh daya tahan isi rumah dalam jangka masa panjang. – KOSMO! ONLINE














