REMBAU – Perjalanan dua sahabat untuk pulang ke Johor selepas bercuti di dua lokasi pelancongan tanah tinggi berakhir tragedi apabila salah seorangnya maut dalam nahas di kilometer 224.8, Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan), di sini, pagi tadi.
Difahamkan dalam kejadian kira-kira pukul 6.58 pagi itu, mangsa iaitu wanita berusia 23 tahun bergerak pulang ke Pontian secara konvoi motosikal berasingan dengan seorang lagi rakan wanitanya.
Mereka dipercayai bercuti serta bermalam sejak Rabu lalu di Cameron Highlands dan Genting Highlands, Pahang.
Rakannya yang menunggang di belakang tiba di lokasi kejadian beberapa minit kemudian dan mendapati rakannya sudah terbaring di atas jalan.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Azmi Ali, difahamkan mangsa yang merupakan seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dalam perjalanan pulang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dari arah Genting Highlands menghala ke Pontian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan serta melanggar besi penghadang jalan sebelah kiri sebelum terjatuh ke lorong kecemasan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir. Mayat mangsa telah dibawa ke Forensik Hospital Rembau untuk urusan bedah siasat,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE














