KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tiada ruang untuk sebarang bentuk keganasan atau tindakan buas (hooliganisme) dalam arena sukan, terutamanya bola sepak.
Katanya, tindakan itu jelas bertentangan dengan semangat kesukanan.
Menurut Anwar, sukan sepatutnya menjadi wadah penyatuan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, bukannya dicemari dengan perlakuan yang tidak bertanggungjawab atau bersifat memecah-belahkan.
“Semua orang menyokong pasukan mereka atau negeri atau wilayah mereka, tetapi itu tidak membolehkan mereka untuk membuat huru-hara dan mengamalkan hooliganism.
“Jadi kita akan melakukan perubahan. Jangan ambil budaya samseng itu dalam sukan seperti yang anda baca dan lihat serta tonton di televisyen daripada pengalaman negara lain,” ketika berucap di Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat Baharu Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini hari ini.
Beliau menegaskan bahawa semangat dalam sukan adalah perkara biasa yang perlu ditonjolkan, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk mewajarkan tingkah laku bertentangan dengan semangat kesukanan. – KOSMO! ONLINE