SEBERANG PERAI – Helah ejen yang menyalahgunakan permit sektor pembersihan dan buruh binaan bagi menempatkan pekerja asing di kilang terbongkar menerusi Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen (JIM) di sebuah kilang di Simpang Ampat, Bukit Mertajam di sini, hari ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 749 individu diperiksa dalam operasi yang bermula pada pukul 10.30 pagi tadi manakala seramai 307 orang dikesan melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen.
Menurutnya, mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 40 tahun dan terdiri daripada 306 warga Bangladesh serta seorang warga Nepal.
“Kesalahan dilakukan termasuk menyalahgunakan sektor permit, memiliki permit tamat tempoh, tiada dokumen perjalanan sah, selain memiliki permit dalam sektor pembersihan tetapi bekerja di kilang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang warga Bangladesh yang sempat ditemu bual memaklumkan dia tiba di Malaysia pada 2023 melalui seorang ejen, dengan bayaran sekitar RM20,000 atau kira-kira 300,000 Taka.
Katanya, dia sedar permit miliknya adalah untuk sektor pembersihan, namun tetap bekerja di kilang selepas dimaklumkan ejen bahawa kerja kilang termasuk dalam skop kerja pembersihan.
“Saya tahu permit untuk kerja cleaner, tapi ejen kata kerja kilang pun dikira kerja cleaner,” katanya ringkas. – KOSMO! ONLINE