DI tengah tasik yang sunyi, di celah-celah kayu mati dan bayang pokok tenggelam, pemancing berdiri tegak dengan mata tajam memerhati permukaan air lenang.
Setiap riak, percikan kecil mampu menjadi isyarat. Inilah dunia ‘tinjau mengilat’ (sight casting) si toman bujang iaitu ikan toman yang bergerak solo atau dalam kumpulan antara dua hingga empat ekor tanpa membawa anak.
Ia juga merupakan satu disiplin memancing yang menuntut tumpuan penuh, kawalan emosi dan naluri memburu.
Petunjuk toman bujang sedang memburu
Sight casting bergantung kepada aktiviti di permukaan air. Selalunya pada awal pagi dan lewat petang kerana pada waktu itu kebiasaannya permukaan air tasik lenang serta kurang berangin.
Ketika toman bujang bergerak keluar dari persembunyian untuk memburu mangsa, pemancing peka dapat melihat riak air, semburan kecil atau pergerakan halus yang mendedahkan kehadirannya.
Namun, tidak semua hari sempurna kerana cuaca memainkan peranan besar. Hari yang panas dan tenang memudahkan sight casting.
Namun, apabila angin mula bertiup kuat, air menjadi berkocak dan permukaan air akan beralun.
Riak-riak semula jadi menyukarkan penglihatan. Apabila terjadinya situasi sebegini, pemancing tidak lagi mampu melihat pergerakan toman bujang dengan jelas.
Dari kawasan terbuka ke suak terlindung
Apabila angin kuat mula meniup, pemancing berpengalaman pasti mengetahui masanya untuk berubah taktik. Kawasan tasik yang terbuka tidak lagi sesuai. Pemancing sepatutnya bergerak ke suak-suak kecil yang terlindung daripada tiupan angin.

Suak-suak yang terlindung ini bukan sahaja memberikan perlindungan daripada angin, malah sering menjadi ‘lokasi simpanan’ untuk toman bujang.
Di sini, pemancing perlu berubah daripada sight casting kepada lontaran gewang secara rawak (blindcast).
Ini kerana ia terletak berhampiran tebing-tebing suak bereba yang menjadi tempat toman bujang menyorok sebelum menyergap mangsanya.
Strategi baru bermula
Dalam suak yang redup dan terlindung, permukaan air biasanya lenang. Namun, tanpa isyarat visual daripada toman, teknik sight casting tidak lagi relevan.
Di sinilah, pemancing menggunakan naluri, pengalaman dan pemahaman struktur air untuk mencari toman yang ‘duduk diam’.
Struktur kayu mati, batu besar tenggelam atau tebing curam menjadi sasaran utama. Sebaik-baiknya, lakukan lontaran gewang berulang-ulang kali ke lokasi yang berpotensi. Bagi strategi ini, sejenis gewang menjadi senjata utama iaitu soft plastic.
Wira ketika angin melanda
Soft plastic adalah pilihan tepat ketika sight casting mustahil dilakukan.
Dengan reka bentuk yang lembut dan realistik, umpan ini meniru pergerakan anak ikan. Ia boleh dimainkan perlahan-lahan melalui teknik lift-drop, dragging, atau twitching.
Kelebihannya sangat jelas untuk toman bujang seperti boleh dihantar ke zon berhampiran dasar.
Lenggoknya minimal dan tidak menakutkan ikan, lantas ia sangat berkesan untuk ikan pasif.
Ketika angin meniup masuk ke tasik, banyak pemancing yang berjaya ‘menyelamatkan trip’ dengan bertukar kepada soft plastic dan fokus blindcast di suak terlindung.
Soft plastic yang dimainkan secara perlahan dan senyap kadangkala akan direntap secara tiba-tiba tanpa amaran, berbeza dengan letupan dramatik sight casting di permukaan.

Bila backlash jadi tuah
Satu insiden menarik berlaku ketika kami sedang blindcast di satu suak.
Lontaran soft plastic yang terburu-buru membuatkan tali bersimpul dalam gelendung (backlash).
Soft plastic tersebut tenggelam ke dasar tanpa sebarang aksi kerana saya perlu membetulkan tali yang berserabut itu.
Dalam diam, joran tiba-tiba direntap kuat. Nasib baik tali terlepas keluar kesan daripada rentapan itu. Drag ‘menjerit’ dan joran melentur ke bawah bot.
Akhirnya, seekor toman bujang hitam pekat berjaya dinaikkan. Ia menyambar umpan yang ‘mati’ di dasar.
Air yang tenang, adrenalin meningkat
Namun, tiada yang dapat menandingi keseronokan sight casting sebenar. Apabila cuaca menyebelahi, permukaan tasik kembali tenang, dan aktiviti toman bujang jelas kelihatan kembali, dengan gewang topwater pula menjadi senjata utama.
Dengan pencil bait, prop bait atau stickbait, permainan gewang permukaan menjadi teater adrenalin.
Pemancing dapat melihat bayang toman mengejar umpan, air meletup apabila ia menyambar dan joran melentur tanpa ampun.
Sight casting adalah tentang menggabungkan mata, tangan dan naluri. Ia permainan pancaindera dan kesabaran, apabila berhasil, kepuasannya tidak terganti.
Kejayaan sebenar dalam sesuatu trip memburu toman bujang bukan terletak pada gewang semata-mata, sebaliknya keupayaan pemancing menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.
Cuaca berubah, perangai toman juga berubah, dan pemancing yang berjaya adalah mereka yang tahu bila perlu bertahan, bila perlu menyerang serta bila perlu bermain dengan senyap.














