HULU SELANGOR – Polis menahan seorang lelaki warga asing bagi membantu siasatan berhubung kejadian gangguan seksual terhadap seorang remaja perempuan di kawasan Bukit Sentosa, di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa kira-kira pukul 3 petang.
“Bertindak hasil maklumat awam, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor berjaya menahan seorang lelaki warga asing berusia 21 tahun di kawasan Bukit Sentosa.
“Siasatan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, manakala ujian air kencing yang dijalankan terhadapnya didapati negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek direman selama tiga hari bermula 5 hingga 7 Ogos ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 15(a)(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. – KOSMO! ONLINE