PHNOM PENH – Kemboja hari ini meminta Thailand mengembalikan 20 askarnya yang ditawan beberapa jam selepas gencatan senjata berkuatkuasa bagi menamatkan pertempuran sempadan paling berdarah antara Bangkok dan Phnom Penh dalam tempoh beberapa dekad.
Kedua-dua negara bersetuju melaksanakan gencatan senjata kelmarin selepas pertempuran berterusan selama lima hari menyebabkan sekurang-kurangnya 43 orang terbunuh di kedua-dua belah pihak.
Bangkok berkata, tiada laporan keganasan pada malam hingga pukul 7 pagi (8 pagi waktu Malaysia) tadi, selepas kedua-dua pihak menuduh satu sama lain melanggar gencatan senjata yang berkuatkuasa kelmarin.
Jurucakap kementerian pertahanan Kemboja, Maly Socheata berkata, rundingan sedang dilakukan untuk pembebasan 20 askar.
“Kami akan melakukan yang terbaik untuk meneruskan rundingan dengan Thailand demi membawa semua askar kami pulang dengan selamat dan secepat mungkin,” katanya.
Semua anggota tentera itu ditawan sekitar pukul 7.50 pagi (8.50 pagi waktu Malaysia) kelmarin, hampir lapan jam selepas gencatan senjata berkuat kuasa.
Kerajaan Thailand semalam berkata, askar yang ditahan dilayan mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan peraturan ketenteraan, dan akan dikembalikan apabila keadaan di sempadan stabil.
Thailand berkata, 15 anggota tenteranya dan 15 orang awam terbunuh, manakala Kemboja mengesahkan lapan kematian orang awam dan lima korban tentera. – AFP