ALOR SETAR – Khidmat penyiasat persendirian (PI) meningkat 50 peratus terutama daripada golongan wanita yang mahu menyemak latar belakang pasangan termasuk status sebelum mendirikan rumah tangga.
Kebanyakan mereka adalah golongan profesional, usahawan, pekerja swasta dan individu yang pernah melalui pengalaman hubungan bermasalah.
Dengan caj serendah RM500, seseorang wanita itu dapat mengetahui mengenai status pasangan, keluarga, pekerjaan, tahap kewangan, rekod jenayah, gaya hidup dan tingkah laku sosial. Namun upah itu boleh mencecah belasan ribu ringgit bergantung skop tugasan.
Mendedahkan perkara itu, seorang PI daripada ZNZ Delima Co yang mahu dikenali sebagai Jay berkata, sebelum ini, kebanyakan pelanggan mendapatkan khidmat mereka untuk mengesan pasangan curang, namun kini semakan sebelum berkahwin semakin mendapat sambutan.
Perkara itu didorong oleh perasaan bimbang dan sikap lebih berhati-hati sebelum bernikah susulan pendedahan kes penipuan identiti, status perkahwinan dan sindiket love scam.
“Mereka mahu mendapatkan kepastian sama ada pasangan itu bujang, mempunyai pekerjaan yang sah, tidak menyembunyikan perkara penting seperti keluarga atau terlibat jenayah serius.
“Penyiasatan juga boleh meliputi rekod jenayah dan hutang bergantung kepada permintaan dan ruang yang dibenarkan undang-undang.
“Semua semakan ini dilakukan secara profesional dan diperoleh secara sah,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Jelas Jay, penyiasatan biasanya dibuat melalui gabungan pemerhatian di lapangan, semakan dokumen yang dibenarkan, maklumat terbuka, temu bual dan analisis terhadap konsistensi identiti dan rutin harian individu tersebut.
“Kami tidak menggunakan kaedah yang melanggar undang-undang atau pencerobohan privasi. Media sosial turut menjadi antara sumber penting dalam siasatan kerana mampu memberi petunjuk awal mengenai corak kehidupan seseorang.
“Banyak maklumat boleh diperoleh daripada corak interaksi, gaya hidup, rangkaian sosial dan kandungan yang dikongsi.
“Namun media sosial sahaja tidak cukup untuk dijadikan bukti penuh kerana ada individu menggunakan identiti atau imej yang berbeza daripada realiti sebenar,” katanya.
Jay berkata, cabaran terbesar pihaknya adalah menjaga keseimbangan antara keperluan mendapatkan maklumat dan menghormati privasi individu, selain terdapat kes yang mana individu yang ‘disiasat’ sangat berhati-hati atau menggunakan identiti yang sukar dikesan.
“PI profesional perlu patuh undang-undang dan etika kerja. Kami tidak galakkan pencerobohan privasi atau akses haram ke atas data peribadi,” ujarnya.
Jay berpandangan, tindakan menyemak latar belakang pasangan sebelum berkahwin bukan tindakan melampau, sebaliknya sebagai perlindungan bagi membantu individu membuat keputusan penting dengan lebih yakin.
Sementara itu, Ketua PI dan Perlindungan Korporat Tun Security Services Sdn. Bhd., Hafize Adnan berkata, permintaan bagi khidmat PI di syarikatnya meningkat dengan purata seramai 10 hingga 15 klien sebulan.
Katanya, wanita paling ramai menggunakan khidmat tersebut iaitu 70 peratus dan kebanyakan mereka berusia 26 hingga 38 tahun yang terdiri daripada golongan profesional.
“Faktor utama mereka berbuat demikian kerana terlalu banyak peluang manipulasi dan penipuan melalui media sosial selain sikap individu yang suka mengambil kesempatan, berlakon dan menyamar untuk kepentingan peribadi.
“Risiko itu boleh dikurangkan dengan melantik PI bagi membuat semakan dan intipan.
“Aspek utama yang biasanya disemak terhadap bakal pasangan adalah rekod atau status perkahwinan, rekod kerja dan kewangan, rekod jenayah serta perilaku bakal pasangan kerana terlalu banyak manusia hipokrit ketika ini,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE
















