BEREGU wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah mengakui masih mencari rentak sebenar selepas berehat hampir dua bulan selepas kali terakhir beraksi pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China April lalu.
Gandingan naib juara dunia itu kembali ke pentas kompetitif pada kejohanan Terbuka Singapura dan mereka terpaksa akur apabila tersingkir di pusingan kedua kepada beregu Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard.
Pada perlawanan yang berlangung di Stadium Tertutup Singapura kelmarin, Pearly-Thinaah masih belum dapat mempamerkan aksi terbaik apabila tewas menerusi keputusan straight-set 16-21, 19-21 dalam tempoh 37 minit.
Thinaah berkata, mereka tetap gembira kerana dapat kembali ke aksi kompetitif selepas berehat untuk tempoh yang lama selain menarik nafas lega menamatkan saingan tanpa mengalami sebarang kecederaan.
“Sebenarnya agak lama kami tidak menyertai saingan Jelajah Dunia ini dan masih ada perkara positif, iaitu kami bebas daripada sebarang kecederaan. Apa yang penting sekarang adalah untuk dapatkan semula momentum.
“Kami juga mahu memperbaiki strategi dalam permainan kerana masih ada kejohanan lain (Terbuka Indonesia) minggu depan. Sekarang kami perlu berehat dan fokus untuk kejohanan itu,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Terdahulu, beregu No.2 dunia itu terlepas beberapa kejohanan termasuk Piala Uber 2026 dan Malaysia Masters susulan kecederaan belakang yang dialami Pearly ketika beraksi di BAC sebelum ini.
Sementara itu, Pearly turut mengakui permainan mereka tidak seperti biasa selain melakukan beberapa kesilapan mudah sehingga membolehkan beregu lawan memberikan tekanan dan mengutip mata percuma.
“Pertama sekali saya gembira dapat menamatkan permainan dengan selamat tetapi kami tidak bermain baik. Kami seolah-olah tidak serasi dan itu menjadi penyebab kami mengalami kekalahan,” ujarnya.














