KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 yang bertujuan mewajibkan pendidikan menengah, diluluskan di Dewan Rakyat pada malam ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pindaan terhadap Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) disifatkan satu detik bersejarah sekali gus amat penting dalam pembangunan modal insan menerusi sistem pendidikan negara.
“Pendidikan ini adalah hak kelahiran setiap anak-anak, maknanya setiap anak-anak ini lahir dengan hak untuk mendapat pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat menggulung perbahasan RUU Pendidikan (Pindaan) 2025.
Semasa sesi perbahasan tersebut, Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang turut menyatakan sokongan terhadap pindaannya dalam sistem pendidikan negara.
RUU Pendidikan (Pindaan) 2025 antara lain bagi memasukkan seksyen baharu 32A yang memperuntukkan tiap-tiap ibu bapa yang anaknya merupakan warganegara dan anak itu tinggal di Malaysia, hendaklah memastikan mereka didaftarkan sebagai murid di institusi pendidikan bagi pendidikan menengah dan terus menjadi pelajar sepanjang tempoh pendidikan menengah. – KOSMO! ONLINE