fbpx
Gambar Hiasan

Tukang kebun dipenjara lima tahun amang seksual pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Seorang tukang kebun sekolah dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki.

Tertuduh, Muhammad Azlee Ruslan, 42, diperintah menjalani hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Datin Surita Budin atas pertuduhan tersebut.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 23 Julai lalu dan menjalani kaunseling pemulihan serta pengawasan polis selama setahun selepas selesai menjalani pemenjaraan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 15 tahun dari 10 hingga 18 Julai lalu.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara minimum 20 tahun dan sebat.

Manakala bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual bukan fizikal ke atas mangsa sama dengan menyebabkan kanak-kanak itu memerhati video lucah pada 2 Julai lalu.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (e) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

Semua kesalahan itu dilakukan di pondok sampah sebuah sekolah rendah di daerah ini dan di sebuah pasar raya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman penjara yang minimum kerana ibunya sudah uzur selain berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni kemudian memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana jenayah dilakukan adalah membabitkan pelajar sekolah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI