JOHOR BAHRU – Dua pegawai penguat kuasa ditahan di Kompleks Kastam, Imigresen Dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, di sini malam tadi setelah disyaki terlibat kegiatan salah laku ‘flying passport’.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Roszita Dim berkata, dua lelaki yang berusia 31 dan 49 tahun itu ditahan pada pukul 9 malam susulan pemantauan yang dijalankan terhadap kumpulan yang bertugas.
Katanya, hasil pemantauan, pasukan Unit Pematuhan AKPS BSI mengesan beberapa kemasukan data pelawat yang meragukan melalui pengenalan diri (ID) pengguna seorang pegawai yang bertugas di kaunter zon kereta.
“Unit Pematuhan AKPS BSI turut mengesan data pelawat asing yang berada dalam kategori pelawat bermasalah yang
memerlukan tindakan pembetulan ralat oleh penyelia bertugas.
“Unit Pematuhan AKPS BSI juga mengesan tindakan pelepasan ralat terhadap data pelawat bermasalah yang telah dilakukan melalui ID seorang penyelia yang bertugas di zon motosikal,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Pelepasan Pelawat di CIQ BSI, di sini hari ini.
Roszita berkata, hasil tindakan pemeriksaan yang dijalankan di kaunter kereta telah menemukan wang tunai berjumlah RM2,800 serta dua unit telefon bimbit dalam simpanan pegawai.
Katanya, soal siasat yang dijalankan telah berjaya membawa kepada penemuan sejumlah 11 pasport wargan China dan tiga pasport warga Indonesia dalam sebuah beg berwarna hitam yang disembunyikan di atas siling kaunter berlainan.
“Unit Pematuhan AKPS BSI turut merampas dua telefon bimbit milik penyelia di kaunter motosikal untuk siasatan lanjut,” katanya.
Tambahnya, kedua-dua pegawai tersebut telah ditahan oleh Unit Pematuhan AKPS BSI dan diserah kepada SPRM negeri Johor, pagi tadi untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, kes juga telah dilapor kepada Ketua Unit Integriti AKPS Putrajaya.
“Ini adalah hasil risikan yang dijalankan dalam tempoh seminggu, kita juga masih menjalankan siasatan untuk mengetahui sudah berapa lama mereka melakukan perbuatan tersebut.
“Sama ada mereka ini bergerak dalam satu sindiket, kita juga masih menjalankan siasatan mengenainya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE