MACHANG – Jabatan Peguam Negara akan meneliti semula hukuman penjara sebulan dan denda RM1,500 yang ditetapkan Mahkamah Majistret Muar terhadap pempengaruh permotoran, Ija Nizaruddin dan adiknya selepas mengaku bersalah membuat laporan palsu dan bersubahat berhubung kehilangannya di Sungai Tui, Bukit Kepong, 14 Julai lalu.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, beliau bagaimanapun tidak dapat mengulas lanjut kerana keputusan tersebut merupakan bidang kuasa mahkamah.
“Kita akan teliti semula isu itu (hukuman). Saya ketika ini tidak boleh mengulas lanjut mengenai kes tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Program Santuni Madani Jabatan Peguam Negara 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Chondong di sini hari ini.

Kosmo! Online semalam melaporkan, Ija Nizaruddin atau nama sebenarnya, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, dan adiknya, Tengku Abd Aziz, 30, dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Muar selepas mengaku salah membuat laporan palsu dan bersubahat berhubung kehilangannya di Sungai Tui, Bukit Kepong, 14 Julai lalu.
Majistret Suzana Mokhtar membuat keputusan itu selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.
Kedua-dua tertuduh membayar denda yang ditetapkan mahkamah.
Terdahulu, misteri kehilangan Ija Nizaruddin Tengku Zainudin akhirnya terjawab apabila dia dikatakan melarikan diri ke negara jiran. – KOSMO! ONLINE