PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU(PBB), New York – Kemboja mahukan ‘gencatan senjata segera’ dengan Thailand, kata dutanya ke PBB selepas Phnom Penh dan Bangkok berbalas serangan pada hari kedua, dengan Thailand turut memberi isyarat sedia untuk berunding.
Pertikaian sempadan berterusan bertukar menjadi pertempuran sengit melibatkan jet, artileri, kereta kebal dan tentera darat kelmarin, mendorong Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan krisis tersebut semalam.
“Kemboja meminta gencatan senjata serta-merta, tanpa syarat dan kami juga menyeru penyelesaian damai bagi pertikaian ini,” kata duta Phnom Penh ke PBB, Chhea Keo selepas mesyuarat tertutup Majlis Keselamatan yang turut dihadiri oleh Kemboja dan Thailand.
Di PBB, utusan Kemboja itu mempersoalkan dakwaan Thailand bahawa negaranya yang lebih kecil dan kurang maju dari segi ketenteraan berbanding jirannya, telah memulakan konflik tersebut.
“(Majlis Keselamatan) menyeru kedua-dua belah pihak untuk melaksanakan kawalan diri maksimum dan menggunakan penyelesaian diplomatik. Itulah yang kami seru juga,” kata Chhea Keo.
Tiada wakil lain dalam mesyuarat itu yang bercakap kepada pemberita.
Lebih 138,000 orang dipindahkan dari beberapa wilayah sempadan Thailand, kata kementerian kesihatan Bangkok yang melaporkan 15 kematian iaitu 14 orang awam dan seorang askar, manakala 46 lagi cedera termasuk 15 anggota tentera.
Terdahulu, jurucakap Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura memberitahu AFP bahawa pertempuran mulai reda menjelang petang semalam sambil menambah, Bangkok terbuka untuk berbincang, mungkin dibantu oleh Malaysia.
“Kami bersedia, jika Kemboja ingin menyelesaikan perkara ini melalui saluran diplomatik, secara dua hala, atau bahkan melalui Malaysia, kami bersedia untuk melakukannya,” kata Nikorndej kepada AFP sebelum mesyuarat PBB berlangsung.
Malaysia kini memegang jawatan pengerusi blok serantau Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang turut dianggotai oleh Thailand dan Kemboja. – AFP