MANCHESTER – Manchester United mengesahkan kedudukan mereka selaku pasukan ketiga terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas berhempas pulas menewaskan Nottingham Forest 3-2 di Old Trafford malam kelmarin.
Masing-masing satu gol menerusi Luke Shaw, Matheus Cunha dan Bryan Mbeumo memastikan skuad The Red Devils mengutip tiga mata berharga, manakala gol pasukan pelawat dijaringkan Morato dan Morgan Gibbs-White.
Pengurus sementara United, Michael Carrick menyuarakan rasa gembira dan puas hati kerana mereka berjaya mencatat kemenangan, lebih-lebih lagi ia merupakan aksi liga terakhir di laman sendiri.
“Ia satu perlawanan yang sangat penting kerana ini aksi terakhir kami di depan penyokong sendiri. Oleh itu, sudah tentu saya mahu hadiahkan kemenangan kepada mereka dan kami berjaya melakukannya.
“Walaupun berdepan kesukaran sepanjang perlawanan hari ini (kelmarin) tetapi kami sudah menampilkan aksi terbaik. Selain itu, kami juga sepatutnya mencatat kemenangan dengan jaringan lebih besar,” katanya.
Pada aksi kelmarin, ketua pasukan United, Bruno Fernandes juga berjaya menyamai rekod Thierry Henry dan Kevin De Bruyne dengan melakukan 20 umpanan gol semusim ketika mencipta gerakan gol yang disudahkan oleh Mbeumo.
Selain itu, perlawanan tersebut juga menyaksikan Casemiro beraksi buat kali terakhir di Old Trafford apabila sah bakal berhijrah selain Tyrell Malacia turut mengakhiri kontraknya bersama kelab tersebut.
Sementara itu, Carrick juga enggan mengulas lanjut mengenai spekulasi yang mendakwa pihak pengurusan United sudah mencapai persetujuan dengan beliau bagi mendapatkan khidmatnya secara tetap. – AGENSI














