fbpx
Gambar hiasan

Pemandu e-hailing dijerut, dipukul empat remaja tak mampu bayar tambang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR GAJAH – Seorang pemandu e-hailing wanita cedera selepas dijerut dan dipukul empat remaja termasuk dua remaja perempuan yang didakwa tidak mempunyai wang untuk membayar tambang dalam kejadian di Kuala Sungai Baru, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa berusia 41 tahun mengalami lebam dan bengkak pada beberapa bahagian badan, selain kesan jerutan di leher selepas diserang suspek.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, berdasarkan laporan dibuat, mangsa mengambil kesemua suspek menerusi tempahan Grab di kawasan Bukit Rambai untuk dihantar ke pekan Kuala Sungai Baru.

Katanya, suspek terdiri daripada dua remaja lelaki masing-masing berusia 15 dan 17 tahun serta dua remaja perempuan berusia 14 tahun.

“Setiba di kawasan berhampiran hutan di Kuala Sungai Baru, salah seorang suspek meminta mangsa memberhentikan kenderaan dengan alasan mahu mencari seseorang selain mendakwa tidak mempunyai wang untuk membuat bayaran secara dalam talian.

“Selang beberapa minit, tiga daripada suspek iaitu remaja lelaki berusia 17 tahun dan dua remaja perempuan tiba-tiba bertindak agresif dengan menyerang mangsa,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan keterangan mangsa, suspek lelaki telah menjerut leher wanita itu dari belakang, manakala dua remaja perempuan terbabit memukul mangsa menggunakan batang besi serta menarik rambutnya.

“Suspek turut mengugut mangsa supaya tidak meminta pertolongan. Seorang lagi remaja lelaki bagaimanapun tidak masuk ke dalam kereta kerana telah melarikan diri dari kawasan kejadian.

“Mangsa kemudian berjaya meloloskan diri dengan memandu keluar dari lokasi kejadian sebelum membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan di hospital,” ujarnya.

Tambahnya, mangsa disahkan mengalami kecederaan pada bahagian hidung, leher dan kedua-dua belah tangan akibat pergelutan dengan suspek.

Ahmad berkata, siasatan lanjut turut mendapati sepanjang perjalanan, kenderaan itu telah berhenti sebanyak dua kali dan suspek mengarahkan laluan sama dilalui berulang kali.

Katanya lagi, kesemua suspek telah ditahan dan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN