fbpx
SEBUAH jet pelatih F-7 BGI buatan China milik tentera Bangladesh merempuh sebuah sekolah dalam tragedi di Dhaka yang mengorbankan 32 orang pada Isnin lalu.

Imej pengangkutan udara tercalar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA Isnin lalu, sebuah jet pelatih F-7 BGI buatan China milik tentera Bangladesh merempuh sebuah sekolah dalam tragedi di Dhaka yang mengorbankan 32 orang, kebanyakan mereka pelajar selain juruterbang dan guru.

Seramai 171 orang lagi, juga kebanyakan mereka pelajar Sekolah dan Kolej Milestone, cedera akibat melecur.

Apa yang menyayat hati ialah, 31 orang yang terkorban itu berada di darat selepas pesawat dikendalikan juruterbang, Leftenan Mohammed Toukir Islam terhempas.

Ia merupakan tragedi aviasi terburuk dalam sejarah Bangladesh sejak 1948, apabila sebuah pesawat penumpang terhempas di Dhaka ketika dalam penerbangan dari Chattogram, menyebabkan 49 orang terkorban.

Nahas di Bangladesh itu berlaku tidak lama selepas sebuah pesawat komersial milik syarikat penerbangan Air India merempuh sebuah hostel pelajar perubatan di bandar Ahmedabad, India sehingga mengorbankan 241 daripada 242 penumpang dan krunya.

Hanya seorang warga Britain terselamat apabila dia dilihat berjalan keluar daripada serpihan pesawat Boeing 787-8 Dreamliner itu yang kemudian meletup.

Seramai 19 orang maut termasuk pelajar perubatan dan 67 lagi cedera. Ia merupakan tragedi paling buruk dalam sejarah penerbangan dunia dalam tempoh 10 tahun.

Sama seperti di Bangladesh, nahas di India turut mengakibatkan kematian dan kecederaan orang awam yang berada di darat.

Setakat ini, belum ada keputusan rasmi tentang punca kedua-dua nahas itu.

Namun, dalam nahas di Bangladesh, tenteranya menyatakan bahawa jet tersebut mengalami masalah teknikal sehingga menyebabkan juruterbang terpaksa melencongkan pesawat dari kawasan berpenduduk padat sehingga merempuh bangunan sekolah swasta.

Dalam nahas di India pula, berdasarkan rakaman suara kokpit yang didedahkan kepada umum, juruterbang Boeing 787 itu bertanya kepada pembantu juruterbang kenapa dia mematikan suis bahan api ke enjin yang mengakibatkan kapal terbang kehilangan kuasa.

Pembantu juruterbang berkata, dia tidak mematikannya sebelum Boeing 787-8 Dreamliner merempuh hostel tersebut.

Walau apa pun, tragedi pesawat penumpang dan jet yang mengorbankan orang awam agak kerap berlaku pada tahun lalu dan tahun ini ketika kapal terbang dinobatkan sebagai pengangkutan paling selamat di dunia.

Terbaru, sebuah pesawat penumpang dua kipas Antonov-24 dikendalikan Angara Airlines terhempas di Russia kelmarin.

Sebuah helikopter penyelamat kemudian mengesan badan pesawat itu terbakar di kawasan hutan kira-kira 16 kilometer dari Tynda. Semua 50 penumpang dan kru terbunuh.

Pada Disember 2024 pula, pesawat penumpang Jeju Air tergelincir ketika mendarat dan merempuh tembok sebelum meletup di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Korea Selatan sehingga mengobankan 179 orang.

Semua nahas itu mencalar imej pengangkutan udara yang dianggap paling selamat di dunia. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN