NEWCASTLE – Penyerang Newcastle United, Alexander Isak dilaporkan nekad untuk meninggalkan St. James Park selepas dikaitkan dengan perpindahan menyertai Liverpool musim depan.
Bagaimanapun, perkembangan terbaharu dianggap mengejutkan apabila destinasi kariernya bukanlah Anfield sebaliknya Isak memberikan kebenaran kepada ejennya untuk membuka rundingan bersama sebuah kelab dari Arab Saudi.
The Reds sebelum ini berminat mendapatkan Isak susulan prestasi cemerlang pemain itu musim lalu, namun enggan memenuhi tuntutan harga £150 juta (RM854 juta) yang ditetapkan Newcastle dan kini mengalihkan fokus kepada Hugo Ekitike dari Eintracht Frankfurt.
Situasi itu membuka ruang buat Al-Hilal yang terus berunding dengan ejen Isak, malah laporan mendedahkan penyerang Sweden berusia 25 tahun itu telah memberi persetujuan awal untuk memulakan rundingan rasmi.
Al-Hilal dilaporkan sanggup melakukan pelaburan besar untuk mendapatkan Isak selepas gagal mendapatkan Victor Osimhen dan Darwin Nunez serta kini melihat Isak sebagai pilihan paling sesuai untuk mengisi posisi serangan utama.
Bagaimanapun, Newcastle dikatakan masih enggan melepaskan pemain utama mereka itu dan hanya akan mempertimbangkan tawaran jika Al-Hilal bersetuju memenuhi harga yang ditetapkan.
Perkembangan itu turut mencetuskan perbincangan dalam kalangan penyokong kerana Al-Hilal dimiliki 75 peratus oleh Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi yang turut memiliki 85 peratus kepentingan dalam Newcastle.
Isak masih mempunyai baki kontrak panjang di St. James Park, namun masa depannya kini bergantung kepada kesungguhan Al-Hilal dalam rundingan rasmi yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat. – AGENSI