SEBERANG PERAI – Majlis angkat sumpah seramai lapan Hakim Mahkamah Rayuan dan 14 Hakim Mahkamah Tinggi yang baharu dijadualkan pada 28 Julai ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemilihan individu-individu tersebut adalah berlandaskan sistem semak dan imbang seperti yang termaktub dalam perlembagaan.
Menurut Anwar, beliau tidak memberikan sebarang kenyataan balas sejak seminggu lalu kerana menghormati sistem dan prosedur pemilihan yang melalui peringkat sewajarnya.
“Saya nak jawab tak boleh sebab pelantikan hakim membabitkan perkenan Yang di-Pertuan Agong. Saya dapatkan nama (calon hakim) daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), timbang, bawa kepada YDPA dan bila diperkenan, cadangan itu akan dibincangkan dalam Majlis Raja-Raja (MRR).
“Saya kena berdepan dengan Raja-Raja untuk beri penjelasan, kemudiannya perlu dipersetujui MRR, YDPA tandatangan dan barulah saya boleh jawab. Lapan Hakim Mahkamah Rayuan dan 14 Hakim Mahkamah Tinggi yang dilantik akan mengangkat sumpah 28 Julai nanti,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Bumiputera Tunas Madani dan Projek Perumahan JKPSB di Dewan Besar, Kampus UiTM Permatang Pauh di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak pembangkang bertindak memainkan isu berkenaan, namun kemudiannya bersetuju dengan pengumuman lantikan yang telah dibuat semalam. – KOSMO! ONLINE