ALOR GAJAH – Seorang pegawai Kor Agama Angkatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori membawa muatan tepung di Jalan Masjid Tanah – Kampung Solok Duku, di sini. awal pagi tadi.
Mangsa, Muhammad Akmal Mohamad Amjaduzzahwi, 24, difahamkan dalam perjalanan ke Kem Terendak, Sungai Udang, apabila kemalangan berlaku pada pukul 3.40 pagi.
Difahamkan, mangsa yang baharu setahun bertugas memandu kereta jenis Perodua Myvi sebelum kenderaan itu bertembung dengan lori terbabit.
Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd Hafidzatullah Rashid yang juga Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.42 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah digerakkan ke lokasi.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak segera menjalankan kerja-kerja menyelamat dan berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit pada pukul 4.11 pagi. Bagaimanapun, pemeriksaan oleh pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya kepada pemberita hari ini.
Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi pembersihan sisa kemalangan dilakukan. – KOSMO! ONLINE