LUMUT – Peluang meluaskan jaringan perniagaan menerusi Seminar Pemantapan Usahawan Industri Asas Tani Jabatan Pertanian Perak memberi impak positif terhadap pengusaha Satay Sungai Wangi yang terletak di Sitiawan, dekat sini.
Menurut Mohamad Shafiq Abdul Rahim, 32, kursus yang diikutinya pada Oktober tahun lalu itu membuka haluan luas bagi perniagaannya dalam industri makanan dan minuman (F&B), sekali gus menambah baik kualiti perkhidmatan ditawarkan.
Dia berkata, menerusi program tersebut, pihaknya berpeluang menambah pengetahuan dalam bidang perniagaan, bahkan berkesempatan menimba ilmu menerusi pertemuan dengan mereka yang telah menempa kejayaan dalam dunia keusahawanan.
“Antara slot pengisian yang menarik perhatian saya pada kursus berkenaan ialah perkongsian kisah kejayaan daripada dua syarikat iaitu Shazam Manufacturing dan Anramin Industry Sdn. Bhd.
“Bahkan, peserta juga berpeluang mengunjungi beberapa syarikat F&B yang beroperasi di Seri Iskandar iaitu Sudip Kuali serta Sambal Talang Tok Baqq,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Mohamad Shafiq berkata, para peserta turut didedahkan dengan pelbagai skim bantuan ditawarkan menerusi Jabatan Pertanian negeri, selain mendalami ilmu berhubung pengurusan perniagaan dan pensijilan halal.
Jelasnya, segala yang dipelajari pada program tersebut diaplikasikan dalam perniagaannya yang kini telah menunjukkan peningkatan baik dari sudut operasi mahupun kapasiti pengeluaran produk.
“Kini, kami mampu untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran sate dalam operasi harian kepada antara 50 dan 100 kilogram (kg) ayam sehari berbanding 30 hingga 50kg sebelum ini.
“Kejayaan ini dicapai biarpun Satay Sungai Wangi beroperasi berhampiran kawasan perumahan. Penggunaan mesin pemotong ayam juga mempercepatkan proses penghasilan sate, yang mana 30kg ayam mampu diproses dalam tempoh sejam berbanding 15kg menggunakan kaedah manual,” katanya.
Katanya, mesin multiple mixer itu merupakan bantuan diterimanya daripada Jabatan Pertanian negeri yang bernilai RM10,000.
Mohamad Shafiq menambah, turut sama mengusahakan perniagaan itu ialah isterinya, Nur Wazirah Mat Azib, 31, serta beberapa orang pekerja yang kini mampu diupahnya untuk bersama-sama membangunkan perniagaan.
“Kami telah membuka cawangan kedua di Batu 7, Lekir di Sitiawan pada November tahun lalu dan lebih 2,500 cucuk sate berjaya dijual sehari menerusi kedua-dua cawangan Satay Sungai Wangi.
“Alhamdulillah, apa yang kami lalui ketika ini memberi semangat untuk terus berjaya dalam bidang ini. Bagi mereka yang mahu berniaga, dalamilah ilmu berkaitan kerana ia penting sekiranya anda mahu meningkatkan prestasi perniagaan,” katanya.
Bantuan daripada Jabatan Pertanian negeri kepada Mohamad Shafiq sejajar dengan flagship Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan).