fbpx

Kedudukan Anwar sebagai PM masih kukuh, kuat – Pemuda PKR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamil (tiga dari kanan) menyampaikan replika cek kelulusan peruntukan khas Perdana Menteri bagi projek-projek pembangunan Parlimen Tambun pada Karnival Kesenian Islam dan Malam Mahabbah MAdani Parlimen Tambun di pekarangan Masjid Jamek Al-Amin di Ipoh malam tadi. - FOTO MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

IPOH – Kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri disifatkan masih kukuh disebalik pelbagai isu dimainkan oleh pihak lawan termasuk desakan kepadanya untuk meletak jawatan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, Anwar masih mempunyai mandat daripada majoriti Ahli Parlimen termasuk menerusi kenyataan sokongan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau memahami sentimen ketika ini kesan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), tarif 25 peratus oleh Amerika Syarikat serta isu lain pelantikan kehakiman yang dimainkan pihak lawan.

“Setakat ini kedudukan Perdana Menteri masih lagi memperolehi sokongan majoriti, kukuh dan kuat. Perkara biasa apabila orang politik (lawan) mengambil kesempatan dan menangguk di air keruh. Fokus kita tidak berganjak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi pemimpin utama dalam penganjuran Karnival Kesenian Islam dan Malam Mahabbah Madani Parlimen Tambun di sini malam tadi yang dihadiri lebih 10,000 orang.

Muhammad Kamil bagaimanapun mengakui soal komunikasi antara perkara yang perlu diperbaiki oleh pihak kerajaan bagi menangkis segala tomahan.

Beliau juga menyifatkan Himpunan Turun Anwar (HTA) yang dirancang oleh pembangkang pada 26 Julai ini dengan sasaran penyertaan lebih 50,000 orang, sebagai tiada hala tuju.

Mengenai cadangan supaya keahlian bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli bersama beberapa ahli Parlimen daripada parti itu yang memberi tekanan kepada kerajaan pimpinan Anwar, Muhammad Kamil berkata partinya mengamalkan keterbukaan dalam melontarkan pandangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI