JEMPOL – Seorang juruteknik berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM110,000 selepas diperdaya sindiket penipuan ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pegawai insurans, polis dan pendakwa raya.
Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Norhisham Mustapar berkata, kejadian bermula pada September tahun lalu apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai syarikat insurans.
“Suspek mendakwa nama mangsa telah disalah guna untuk tuntutan insurans palsu bernilai RM68,800 dan panggilan kemudiannya disambungkan kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis.
“Pegawai terbabit mendakwa nama mangsa turut terlibat dalam kes pengubahan wang haram berjumlah RM1 juta bersama seorang individu lain,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Norhisham, panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada seorang lagi wanita yang mengaku sebagai pendakwa raya yang menyatakan akan membantu membersihkan nama mangsa dengan syarat dia membuka akaun bank untuk tujuan jaminan.
“Mangsa membuka akaun tetap (fixed deposit) di sebuah bank atas nama isterinya dan memasukkan wang secara berperingkat dari 27 September hingga 23 Disember 2024 yang keseluruhannya berjumlah RM110,000.
“Pada 19 Januari lalu, seorang wanita meminta tambahan RM8,000 kononnya bagi bantuan guaman dan mangsa telah memasukkan wang tersebut ke dalam tiga akaun bank berbeza,” katanya.
Namun pada 6 Jun lalu, mangsa bersama isterinya terkejut apabila mendapati baki dalam akaun hanya tinggal RM85 sebelum laporan dibuat pada 7 Julai lalu di Balai Polis Bahau. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE