fbpx

Peranan guru bentuk jati diri generasi akan datang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seramai 414 warga pendidik perima anugerah bergambar bersama Nancy di Petra Jaya,Kuching semalam.

PETALING JAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mencadangkan supaya lebih banyak kerjasama diwujudkan antara institusi pendidikan dan kementerian itu, khususnya dalam pelaksanaan program keibubapaan dan sokongan keluarga bagi membentuk masyarakat yang kukuh dari akar umbi.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata kerjasama itu penting bagi memastikan pembangunan sahsiah dan kesejahteraan keluarga dapat diperkasa secara menyeluruh melalui pendekatan pendidikan.

“Saya amat bersyukur kerana dapat bersama-sama meraikan para pendidik yang menjadi tonggak penting dalam membentuk jati diri anak bangsa. Syabas dan tahniah kepada semua penerima,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nancy, peranan guru hari ini bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi turut berperanan sebagai pembimbing dan pembentuk sahsiah murid agar menjadi insan berilmu, berintegriti dan berempati.

Beliau turut menegaskan bahawa di kawasan Parlimen Santubong, pelbagai usaha sedang digerakkan secara bersama dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak bagi memastikan kemudahan sekolah terus dipertingkat dan kebajikan murid, terutama daripada keluarga B40, terus diberi keutamaan.

“Semoga semangat kecemerlangan ini terus menjadi budaya dalam membentuk masyarakat yang berilmu, berintegriti dan berempati.” ujarnya.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2024 anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuching yang berlangsung di Dewan Hikmah, Petra Jaya, semalam.

Majlis itu menyaksikan seramai 414 warga pendidik menerima anugerah sebagai penghargaan terhadap dedikasi dan komitmen mereka dalam mendidik serta mencorak masa depan generasi muda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI