KLANG – Seorang wanita sanggup berjalan kaki lebih dua kilometer (km) dari rumah selepas suaminya ditahan polis kerana merempit di Persiaran Raja Muda Musa di sini, awal pagi tadi.
Wanita berusia lingkungan 20-an yang baru beberapa bulan mendirikan rumah tangga bergegas keluar selepas menerima panggilan telefon daripada suaminya.
Dia mendakwa telah menasihatkan suaminya berusia 20-an sebelum ini, namun tidak diendahkan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, operasi bersepadu bermula pukul 3 pagi itu dijalankan pihaknya hasil risikan selama tiga minggu lalu mengenai aktiviti samseng jalanan di kawasan berkenaan.
Jelas beliau, sebanyak 128 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang melibatkan 33 individu berusia 14 hingga 39 tahun.
“Kesalahan yang dikesan antaranya cukai jalan tamat tempoh, penunggang bawah umur, tiada nombor pendaftaran dan mengubah suai ekzos. Selain itu, ia melibatkan kesalahan tiada lesen memandu, brek tidak berfungsi dan tidak memakai topi keledar,” katanya hari ini.
Operasi itu dijalankan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor.
Pihak berkuasa mengepung dan menutup dua persimpangan utama serta beberapa lorong tikus, namun terdapat antara samseng jalanan yang cuba melawan arus dan secara melulu. – KOSMO! ONLINE