SILVERSTONE – Mercedes menggelar aksi mereka pada Grand Prix (GP) British hujung minggu lalu sebagai kegagalan terbesar selepas satu demi satu kesilapan strategi menyebabkan George Russell dan Kimi Antonelli gagal menyerlah di litar sendiri, Silverstone.
Ketua Pasukan Mercedes, Toto Wolff mengakui mereka melakukan kesilapan besar terutama dari segi strategi pertukaran tayar menyebabkan Russell hanya mampu menamatkan saingan di kedudukan ke-10 biarpun bermula di petak keempat.
Litar Silverstone ketika itu masih terlalu basah, menyebabkan pelumba Britain berusia 27 tahun tersebut kehilangan posisi dan momentum sejak awal perlumbaan.
“Keputusan pertama, memang salah besar. Itu mencetuskan rentetan kesilapan lain. Jika Kimi (Antonelli) kekal di litar, kami mungkin dapat mengatasi (Nico) Hulkenberg. Namun, kesilapan itu memusnahkan peluang kami.
“Tiada apa yang boleh dibanggakan hari ini. Semua keputusan adalah salah, bukan kerana tindakan berani, tapi kerana salah tafsir situasi sepenuhnya,” jelasnya.
Nasib Antonelli lebih malang apabila terpaksa bersara awal selepas jenteranya mengalami kerosakan serius akibat dilanggar dari belakang oleh pelumba Racing Bulls, Isack Hadjar.
“Memang sukar untuk melihat dalam keadaan hujan. Dia dilanggar kerana Hadjar tak nampak kedudukannya. Kimi kecewa dan perlumbaan ini sebahagian besarnya kerana kesilapan kami,” kata Wolff.
Sebagai rekod, McLaren terus mengekalkan penguasan apabila melakar kemenangan 1-2 menerusi Lando Norris dan Oscar Piastri dengan podium tempat ketiga menjadi milik pelumba Sauber, Hulkenberg. – AGENSI