MIAMI – Pelumba muda sensasi Mercedes, Kimi Antonelli terus mencuri tumpuan apabila meraih kemenangan ketiga berturut-turut musim ini sejurus mencipta kemenangan di Grand Prix (GP) Miami, awal pagi semalam.
Lebih manis, pelumba berusia 19 tahun itu bukan sahaja mendahului carta keseluruhan dengan 25 mata, malah mencipta sejarah apabila memenangi tiga perlumbaan pertamanya dalam karier Formula Satu (F1) secara berturut-turut, semuanya bermula dari petak utama.
Aksi di Litar Antarabangsa Autodrome menyaksikan Antonelli menampilkan pemanduan matang untuk menewaskan juara dunia Lando Norris dari McLaren dengan kelebihan 3.264 saat (s).
“Ini baru permulaan, perjalanan masih panjang. Kami bekerja sangat keras dan pasukan melakukan tugas yang luar biasa,” katanya.
Kemenangan itu hadir hasil strategi hentian pit yang tepat apabila Antonelli berjaya memintas Norris selepas masuk ke pit lebih awal, sekali gus mengubah kedudukan perlumbaan.
Norris yang sebelum itu mendahului perlumbaan jelas kecewa apabila peluang kemenangan terlepas begitu sahaja.
“Bagaimana kami tidak menang perlumbaan ini? Kami sepatutnya menang. Kami terlepas kerana strategi pit. Kami sepatutnya masuk dahulu,” katanya.
Sementara itu, rakan sepasukan Norris, Oscar Piastri melengkapkan podium di tempat ketiga selepas bangkit daripada perlumbaan sukar.
“Untuk sebahagian besar perlumbaan, ia tidak nampak seperti keputusan podium, jadi dapat menamatkan di tempat ketiga adalah sesuatu yang sangat baik,” ujar Piastri. – AGENSI














