MOSCOW – Menteri Pengangkutan Russia, Roman Starovoit ditemui mati dengan kesan tembakan, beberapa jam selepas beliau dipecat oeh Presiden Vladimir Putin, lapor portal berita MailOnline semalam.
Dekri presiden dikeluarkan pagi semalam tidak menyebut sebarang sebab berhubung pemecatan Starovoit yang baru hampir setahun memegang jawatan tersebut.
Namun, penganalisis-penganalisis politik mencetuskan spekulasi bahawa pemecatannya berkait rapat dengan siasatan rasuah di wilayah yang pernah berada di bawah pentadbiran mendiang.
Sumber industri pengangkutan memaklumkan, kedudukan Starovoit telah lama menjadi tanda tanya susulan siasatan terhadap skandal rasuah membabitkan dana yang sepatutnya digunakan untuk memperkukuhkan sempadan Russia-Ukraine di wilayah Kursk.
Menurut sumber penguatkuasa undang-undang, pistol Starovoit ditemui di dalam kereta Tesla miliknya bersama mayatnya, meskipun media Russia lain melaporkan bahawa mayatnya dijumpai di kawasan semak berdekatan.
Setakat ini Jawatankuasa Penyiasatan Russia memaklumkan kematian lelaki berusia 53 tahun itu masih dalam siasatan.
Sebelum menyandang jawatan Menteri Pengangkutan pada Mei 2024, Starovoit telah menerajui wilayah Kursk sebagai gabenor selama hampir lima tahun. – AFP