LIVERPOOL – Pihak pengurusan Liverpool mengesahkan bahawa mereka akan ‘menggantung’ jersi No. 20 yang digunakan oleh Diogo Jota yang maut dalam insiden kemalangan di Sepanyol kelmarin.
Jota dan adiknya, Andre meninggal dunia apabila kenderaan yang mereka naiki terbabas dan terbakar di Lebuh Raya A52 berhampiran sempadan Portugal ekoran tayar yang meletup ketika dalam perjalanan untuk ke sebuah pelabuhan di Santander di utara Sepanyol.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, jersi No. 20 tidak akan diberikan kepada mana-mana pemain sebagai tanda penghormatan ke atas jasa pemain itu yang menyertai The Reds sejak 2020.
“No. 20 adalah tanda penghormatan dan tidak akan diberikan kepada sesiapa. Ia adalah lambang jasa Jota yang menjadi sebahagian daripada pasukan yang meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali ke-20 musim lalu,” menurut kenyataan dikeluarkan kelab itu.
Sementara itu, Kapten Liverpool, Virgil van Dijk meluahkan kesedihan atas pemergian tragis Diogo Jota dan berikrar akan menjaga keluarga rakan sepasukannya itu selepas bintang Portugal tersebut maut dalam nahas jalan raya di Sepanyol, kelmarin.
“Saya tak mampu percaya. Seorang manusia yang luar biasa, pemain yang hebat dan paling penting seorang suami dan bapa yang sangat penyayang.
“Untuk sebuah keluarga kehilangan seorang suami dan seorang ayah adalah sesuatu yang amat sukar dibayangkan. Saya janji, dalam masa sukar ini dan selepas ini juga, kami akan sentiasa ada untuk keluarga kamu.
“Saya sangat berbangga dapat berdiri bersama anda di padang dan menjadi rakan. Kami akan sentiasa merindui dan legasi anda terus hidup di sini. Juara selama-lamanya, nombor 20 selama-lamanya,” katanya. – AGENSI