fbpx
TAPAK asal Stadium St. Mary, Southampton dikatakan tanah perkuburan lama.

Roh-roh berkeliaran di stadium berhantu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPERTI mana tempat-tempat lain, stadium bola sepak juga tidak terlepas dengan
kisah-kisah seram, berhantu dan aktiviti paranormal.

Penampakan entiti seram yang dikaitkan dengan makhluk halus itu menghantui pemain, penonton mahupun petugas di tempat tersebut.
Antara stadium yang terkenal dengan kisah misteri dan berhantu ialah Stadium St. Mary, Southampton di England.

Stadium yang menelan kos pembinaan sebanyak £32 juta (RM179 juta) itu sebenarnya dibina di atas tapak sebuah perkuburan lama Kristian.

Kubur-kubur tersebut tidak dipindahkan ketika membinanya pada tahun 2001, maka secara teorinya Stadium St.Mary ialah sebuah perkuburan lama.

Selepas stadium berkenaan siap dibina, roh-roh yang mendiami perkuburan berkenaan dikatakan berkeliaran di kawasan pekarangan stadium.

 

STADIUM bola sepak tidak ketinggalan dihantui cerita-cerita seram.

 

Pada tahun 2001, kelab bola sepak Southampton berpindah ke St. Mary yang stadiumnya mempunyai kapasiti 32,500 orang penonton.
Selama 103 tahun sebelum ini, Southampton beraksi di Stadium The Dell yang berkapasiti 15,000 penonton.

Pada musim pertama beraksi di St. Mary, pasukan bola sepak Southampton berdepan prestasi buruk dengan mengumpul hanya 10 mata daripada 14 perlawanan pertama musim tersebut.

Ekoran kegagalan dalam perlawanan tersebut, pengurus Stuart Gray telah dipecat selepas enam bulan dilantik ke jawatan itu.

Khabar angin mengatakan prestasi buruk Southampton itu angkara roh-roh berkenaan yang mahu membalas dendam.

Kepercayaan tersebut sangat kuat sehingga pihak pengurusan Southampton mengupah seorang bomoh untuk menghalau roh-roh tersebut dari St.Mary.

Sekumpulan penyokong juga pernah mendakwa beberapa barangan di dalam stadium itu telah beralih dengan sendiri dipercayai dilakukan oleh roh-roh.

Sementara itu, satu lagi stadium berhantu di England ialah Stadium of Light, Sunderland yang menyimpan kisah misteri tidak terungkai sehingga kini.

Pada tahun 2005, dua orang kakitangan kelab Sunderland A.F.C mendakwa mereka pernah ternampak suatu lembaga yang tidak dikenali di salah satu koridor di stadium tersebut.

Namun, ramai mengatakan bahawa dakwaan itu sebagai karut kerana keadaan malam yang agak malap akan memungkinkan kelibat lembaga terhasil daripada bayangan individu yang berada di sekitarnya.

 

STADIUM of Light di Sunderland juga tidak ketinggalan dengan kisah misteri yang belum terungkai.

Penampakan lembaga itu kekal misteri kerana tidak ada individu pernah mengaku bertanggungjawab. Tidak lama selepas kejadian itu salah seorang pemain, Stephen Elliot turut mendakwa telah terserempak dengan lembaga sama di koridor itu.

Sehubungan itu, kisah tersebut mula bertiup kencang dalam kalangan penyokong dan komuniti di Sunderland.

Ada yang mendakwa entiti tersebut adalah seorang lelaki dari kurun ke-18 tetapi ia kekal misteri kerana tidak ada sesiapa yang mengesahkan perkara itu.

Selain itu, pada September 2016, ketika saluran Sky Sports sedang menyiarkan rancangan bercorak diskusi perlawanan Monday Night Football yang berlatar belakang Stadium of Light, penonton-penonton yang menyaksikannya di televisyen ternampak satu lembaga hitam di sekitar padang itu yang kemudian didapati ghaib begitu sahaja.

——————————————————————————————–
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat
di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan
kepercayaan karut atau tahyul.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN