TANGKAK – Status penggantungan keahlian bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein diserahkan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sama ada untuk menarik semula atau tidak.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Hishammuddin perlu menulis surat kepada parti untuk memohon menarik semula penggantungannya jika dia masih berminat menyertai UMNO.
“Dia pergi kita tidak halau. Nak balik semula ke parti juga kita tidak jemput. Nak balik semula (UMNO), perlu tulis surat. Keputusannya pula terserah kepada MKT. Jangan jadi bodoh sombong. Kita (UMNO) tidak terhegeh-hegeh nak rayu siapa-siapa kembali ke parti,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Ledang di Dewan Putra Padang Lerek di sini hari ini.
Sementara itu, Mohamad mengakui terdapat pihak tidak bertanggungjawab cuba memecah-belahkan hubungannya dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya banyak kali dengar orang bercerita mengenai saya lebih-lebih lagi cuba bercerita buruk dan melagakan kami. Saya hanya senyum kerana orang yang mengadu itu saya tidak percayakan dia asbab boleh cakap buruk tentang presiden dia. Depan saya cakap lain. Mungkin belakang saya dia bercakap tentang saya pula, saya tidak akan terpengaruh atau termakan hasutan dengan pihak terbabit,” katanya.
Ujar beliau, menjadi orang nombor dua dalam parti bukan sesuatu yang mudah, tetapi menjadi tanggungjawabnya untuk membantu presiden parti. – KOSMO! ONLINE